Monday, December 14, 2009

Rehal warisan negara

| |

Oleh Dr. Indrawati Zahid
REHAL atau rahl dalam bahasa Arab merupakan seni ukiran kayu yang digunakan untuk meletakkan al-Quran yang hendak dibaca. Dalam bahasa Inggeris, rehal dikenali sebagai Quran stand.
Rehal dihasilkan daripada dua keping papan yang ditanggamkan secara bersilang dan permukaannya diletakkan kitab suci Al-Quran.
Seni ukiran kayu ini merupakan salah satu hasil ciptaan khusus orang Islam. Dan kerana Islam itu begitu rapat hubungannya dengan Melayu atau sering disinonimkan dengan orang Melayu, maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa di rumah orang-orang Melayu pasti ada menyimpan sekurang-kurangnya sebuah rehal.
Seni ukiran pada rehal memaparkan keindahan rekaan hiasan yang pelbagai dan sekali gus menggambarkan ketinggian tamadun orang Islam sejak dahulu sehingga sekarang.
Sesuai dengan fungsinya untuk menampung kitab suci al-Quran, alat ini ternyata satu alat yang penting dalam amalan dan pengajaran Islam.
Dari segi reka bentuknya, rehal dihasilkan dengan ukuran ketinggian yang lebih tinggi dari lutut demi memuliakan kedudukan kitab suci ini di samping memastikan keselesaan bagi individu yang membacanya.
Rehal yang digunakan untuk menampung al-Quran apabila aktiviti membaca Quran dilakukan, diletakkan di atas lantai dengan pembaca al-Quran ini akan duduk bersimpuh bagi perempuan manakala duduk bersila bagi lelakinya.
Dasi segi ukiran hiasan pada rehal, terdapat beberapa motif yang lazim digunakan, iaitu motif flora, geometrik, kosmos dan kaligrafi.
Motif flora yang sering diukir pada rehal adalah seperti bunga matahari, bunga kundur, jari buaya; motif kosmos melibatkan ukiran gambaran matahari, bulan, bintang, gunung dan sebagainya; dan motif kaligrafi merupakan ukiran tulisan klaigrafi Arab daripada ayat-ayat suci al-Quran.
Motif-motif ini kemudiannya digubah menjadi pola atau corak hias yang tertentu. Rehal direka bentuk sedemikian rupa bagi mencerminkan nilai estetik dan pengudaraan (ventilation) dalam seni reka ukiran yang secara langsung mempunyai makna dan falsafah dalam pandangan hidup orang Melayu.
Sunggupun begitu ukiran yang bermotif kaligrafi ayat-ayat al-Quran tidak digalakkan kerana kedudukan rehal yang biasanya diletakkan berhadapan dengan kepala lutut semasa posisi duduk bersila atau bersipuh apabila aktiviti membaca al-Quran dilakukan.
Larangan ini juga bertitik tolak dari keprihatinan bahawa kemungkinan ia akan diletakkan atau disimpan di tempat yang kurang sesuai sehingga boleh menjejaskan kesucian al-Quran.
Sementara itu, teknik ukiran yang memaparkan pelbagai motif ini direpresentasi melalui tiga jenis teknik ukiran, ukiran timbul, ukiran tebuk separuh tembus dan ukiran tebuk tembus.
Keindahan, falsafah dan ketamadunan Islam ini dapat dihayati dan diapresiasi dalam Pameran Rehal yang akan diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya mulai 12 Oktober – 13 November 2009.
Sebagai pusat rujukan dunia tentang Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu mengambil langkah yang proaktif untuk mengadakan pameran rehal ini selama sebulan di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, penjualan kraf, rehal dan khat pada 20 Oktober – 22 Oktober 2009 dan Wacana Warisan: Rehal pada 22 Oktober 2009.
Ahli-ahli panel wacana ini terdiri dari Prof. Dato Dr. Othman Yatim (Akademi Pengajian Melayu), Mustapa Wan Su (Balai Seni Wan Po) dan Prof. Dato Dr. Mohd Zulkifli Mohd Yusof (Akademi Pengajian Islam).
Wacana ini akan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. Semua yang berminat dijemput hadir dan tidak dikenakan sebarang bayaran.
* Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid adalah Ketua Jabatan Dokumentasi Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Pesanan Hari Ini

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

by Ahmad AlFateh